PUTRAJAYA – Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil berhubung pemakluman pembatalan Ordinan Darurat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, adalah penting untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau.
Kenyataan PMO itu menjelaskan bahawa warkah untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan telahpun diutuskan oleh Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon limpah perkenan baginda.
Menurutnya, perkara tersebut dibuat pada 23 Julai lalu iaitu sehari selepas pihaknya menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan Jabatan Peguam Negara.
Susulan itu, katanya, Seri Paduka Baginda pada 24 Julai lalu menitahkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Peguam Negara menghadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.
Berita berkaitan: Agong dukacita kenyataan pembatalan Ordinan Darurat
“Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai lalu, jelasnya, semua Ordinan Darurat dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, Ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, PMO berkata, berikutan desakan itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan Ordinan Darurat berkenaan.
Menurut kenyataan itu, pemakluman yang dibuat Takiyuddin sebagai menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.
Berita berkaitan: Parlimen kecoh lagi
Katanya, pemberitahuan itu bagaimanapun telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Yang di-Pertuan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021.
Oleh itu, jelas PMO, Perdana Menteri dan Peguam Negara telah memohon menghadap Seri Paduka Baginda pada pukul 12 tengah hari, 27 Julai lalu untuk menjelaskan kedudukannya.
“Pada sesi menghadap ini, Perdana Menteri sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan Ordinan Darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.
“Perdana Menteri juga telah menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Seri Paduka Baginda untuk membatalkannya,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929