“PERJALANAN atlet memanah negara, Syaqiera Mashayikh dilihat baru saja bermula dan tidak berakhir di bumi Tokyo,” kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican selepas melihat semangat juang tinggi dipamerkan pemanah muda negara itu pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Reezal Merican mengakui, meskipun Sukan Olimpik pada kali ini adalah aksi sulung Syaqiera, namun dia mampu memberi tentangan cukup hebat ketika berdepan Elena Osipova daripada Pasukan ROC.
Jelas beliau, potensi yang ada dalam diri atlet berusia 21 tahun itu mampu dikembangkan lagi dalam pertandingan pada masa akan datang termasuk Sukan Olimpik seterusnya di Paris 2024 menerusi acara recurve individu wanita.
“Saya ingin memberikan kredit kepada pasukan memanah negara kerana mereka telah menunjukkan prestasi amat baik terutama Syaqiera yang tampil dengan pencapaian terbaik dalam kelayakan sehingga dia bertemu satu lawan yang kuat di ranking keempat.
“Dia memberi tentangan cukup sengit kepada Osipova sebelum pihak lawan menang dengan keputusan 6-4. Secara peribadi, saya anggap pencapaian Syaqiera ini adalah pencapaian cukup bermakna untuk pasukan memanah Malaysia.
“Saya yakin potensi Syaqiera ini boleh dikembangkan lagi dalam penyertaan seterusnya, malah pada Olimpik akan datang,” kata Reezal Merican semalam.