IPOH – Peranan petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini diingati apabila menerima sumbangan barangan keperluan harian sebagai tanda penghargaan.
Sumbangan tersebut diberikan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama pasaraya Econsave.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, ini merupakan sumbangan kali pertama oleh pihaknya kepada petugas barisan hadapan PPV menerusi program MBI Prihatin.
“Sepertimana sedia maklum, PPV ini mempunyai ramai petugas barisan hadapan termasuk sukarelawan yang mengelolakan ribuan rakyat untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 setiap hari.
“Sumbangan kecil ini diharapkan dapat menyuntik semangat para petugas di sini seperti doktor, jururawat, petugas keselamatan dan sukarelawan untuk menyempurnakan tanggungjawab mereka,” katanya.
Terdahulu, sumbangan disampaikan Rumaizi kepada Pegawai Perubatan dan Kesihatan Pejabat Daerah Kinta, Dr. Nirwan Oksa merangkap Ketua Penyelaras PPV.
Hadir sama, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara 2, Chua Yong Chiang dan Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929