PETALING JAYA – Konsortium Industri Rakaman Malaysia (IRAMA) malam tadi membuat laporan polis berkenaan sebuah video tular yang menunjukkan tindakan seorang pensohor media sosial yang menghina dan memalukan seorang gelandangan tua atas alasan motivasi.
Biarpun video yang berdurasi lebih kurang satu minit tersebut tular dengan pelbagai reaksi kecaman semua pihak termasuk dikompaun sebanyak RM1500 kerana tidak memakai pelitup muka sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP), pihak IRAMA berkata, satu kenyataan tegas perlu diambil kerana perbuatan tersebut dilakukan dengan sengaja seolah-olah sejenis tindakan yang patut dicontohi.
Dalam laporam polis yang dibuat di Balai Polis Ampang tersebut, Presiden IRAMA, Ayob Abdul Majid menegaskan, terlalu banyak aksi tidak beretika dan beradab dilakukan golongan pensohor media dan selalunya, bila ini berlaku, reaksi netizen segera mengaitkan tindakan itu sebagai ‘perangai artis.
“Hal ini membimbangkan kami dalam jangka panjang. Tindakn mereka menyebabkan golongan artis terpalit sama. Lebih menakutkan ramai antara mereka sememangnya akrab dengan golongan artis yang menyebabkan setiap tindakan mereka juga dikira sebagai tindakan artis atau direstui para artis.
“Lebih membimbangkan, aksi-aksi tak beretika ini tular dan ditonton oleh golongan kanak-kanak dan remaja yang menjadikan setiap aksi golongan influencer ini sebagai cara untuk berjaya yang perlu diikuti dan dicontohi. Ini sangat salah dan membimbangkan,” Ayob dalam satu kenyataan media.
Konsortium IRAMA berharap agar adanya garis panduan dan tindakan yang lebih tegas terhadap apa jua aksi biadap dan tidak bertanggungjawab oleh para pensohor media yang dibuat sebagai gimik bagi meraih perhatian kepada diri mereka.
Cukup-cukuplah kita sajikan kisah tular kebiadapan pensohor media sosial sebagai contoh ikutan, hanya kerana tiada tindakan yang cukup tegas dan mampu memberi impak diambil terhadap mereka. Trend ini perlu ditamatkan. – K! ONLINE