PENGANJUR Sukan Olimpik Tokyo menafikan kenaikan kes Covid-19 di Jepun hari ini berpunca daripada penganjuran sukan itu selepas 24 kes jangkitan direkodkan dalam kalangan peserta yang bertanding sekali gus menjadi jumlah tertinggi dilaporkan setakat ini.
Menurut penganjur, kira-kira 193 atlet, pegawai media, dan para pekerja Olimpik serta kontraktor dilaporkan positif wabak berbahaya itu bermula 1 Julai lalu sehingga kini, namun ia tidak termasuk beberapa kes di lapangan terbang dan kem latihan.
Semalam, Jepun merekodkan sebanyak 9,583 kes dan ia adalah kali pertama kes melebihi 9,000 dan tertinggi dicatatkan setakat ini.
Jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams berkata, tiada petunjuk yang boleh membuktikan bahawa Sukan Olimpik menyebabkan kenaikan kes Covid-19.
“Setahu saya tiada satu pun kes penyebaran kepada rakyat di Tokyo berpunca daripada atlet mahupun pergerakan Olimpik.
“Kami adalah komuniti yang paling banyak diuji, kami berdepan kawalan pergerakan paling ketat berbanding semua tempat di seluruh dunia,” katanya.
Penganjur juga menyatakan Olimpik tidak akan meletakkan tekanan ke atas sistem kesihatan Jepun walaupun pakar memberikan amaran bahawa peningkatan junmlah kes boleh menyebabkan krisis kesihatan di negara itu.
Katanya, hanya dua orang yang terlibat dengan Sukan Olimpik Tokyo berada di hospital dan sebahgian daripada mereka yang memerlukan rawatan hanya dijaga oleh pasukan perubatan sendiri.
“Sejumlah 310,000 ujian saringan dilakukan dan sebanyak 0.02 peratus sahaja dilaporkan positif daripada jumlah tersebut,” katanya. – AGENSI