fbpx

Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 dilancar hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Saiful ketika melancarkan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 secara langsung di laman Facebook rasmi PTPTN hari ini.

PETALING JAYA – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah melancarkan Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 sebagai garis panduan demi menguruskan dana simpanan dan pinjaman secara efektif berlandaskan tadbir urus cemerlang, berintegriti dan strategik.

Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pelan strategik tersebut menumpukan kepada usaha memperkasa organisasi agar lebih dinamik dan cemerlang melalui pengubahsuaian imej, budaya dan proses kerja dengan pelaksanaan penjenamaan dan pendigitalan PTPTN.

“Saya optimis Pelan Strategik yang telah dirangka ini akan membawa PTPTN ke satu fasa baharu serta dijadikan garis panduan ke arah imej PTPTN yang berkualiti tinggi sekali gus meningkatkan lagi keyakinan dan kesediaan masyarakat untuk membuat bayaran balik dan menyimpan.

“Saya berharap PTPTN akan terpahat di hati masyarakat sebagai tabung pendidikan yang bukan sekadar menyedia dan mengutip pinjaman tapi memberi peluang kepada anak-anak untuk berjaya,” katanya dalam ucapan perasmian Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 pada sesi secara langsung di laman Facebook rasmi PTPTN hari ini.

Terdapat lima teras strategik telah dikenali pasti termasuk menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai produk simpanan pendidikan utama, memperkasakan pengurusan pinjaman pendidikan, menambah baik pengurusan kutipan bayaran pinjaman dan melaksanakan strategi pendanaan dan pelaburan yang mendatangkan pulangan optimum.

Melalui teras strategik kelima, PTPTN akan memperkasakan organisasi dengan meliputi aspek pengurusan data yang lebih sistematik melalui Rangka Kerja Kepintaran Buatan dan meningkatkan keupayaan aplikasi menggunakan teknologi terkini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, PTPTN bertindak selari dengan hasrat kerajaan di dalam menghasilkan graduan yang berkualiti sebagai pembiaya utama pinjaman pendidikan tinggi negara.

“PTPTN akan lebih cemerlang dan terserlah sebagai institusi penabungan dan pengurusan utama dana bagi tujuan pendidikan tinggi menjelang tahun 2025 melalui strategi-strategi yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak,” ujarnya.

PTPTN telah membantu seramai 3.51 juta pelajar dengan mengeluarkan jumlah pinjaman sebanyak RM63.82 bilion sejak ditubuhkan pada tahun 1997 sehingga 31 Mei 2021 dan mencatatkan deposit berjumlah RM8.99 bilion melibatkan 4.98 juta akaun SSPN. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI