PETALING JAYA – “Kau bila nak balik Malaysia? Parang dah lama asah dah ni. Lama tak makan darah Yahudi.”
Itu antara mesej peribadi (DM) berbaur ugutan diterima aktivis kemanusiaan, Caprice daripada orang yang tidak dikenalinya menerusi IG Story.
Tidak terkesan dengan ugutan berkenaan, kata Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, 33, dia akan tetap meneruskan misinya membantu orang Islam.
“Sejak saya nak buat live (siaran langsung) sampai hari ini, sudah terima banyak ugutan dari orang taksub.
“Ada yang dari orang biasa, ada yang dari orang luar biasa. Betul-betul akhir zaman rakyat Malaysia seperjuanganku.
“Saya akan tetap meneruskan misi dan menyelesaikan walaupun terpaksa merisikokan nyawa. Fisabilillah,” kata pelantun lagu Lenglui itu.
Caprice juga mendedahkan wajah serta identiti individu yang mengugut untuk membunuhnya itu. Katanya: “@pdrm_official @malaysiaairlines mohon periksa ugutan bunuh dari seorang cef. Betul-betul masak dia nanti.
“Saya sudah terima ugutan bunuh. Insya-Allah sampai KLIA saya nak pesan chicken wings sekali.”
Meninjau akaun Instagram individu terbabit, dia dipercayai bekerja sebagai seorang cef di pusat penerbangan terkemuka negara tersebut. Bagaimanapun, hasil tinjauan Kosmo! Online mendapati akaun berkenaan sudah bertukar nama dan gambar profil juga dipadamkan. – K! ONLINE