PETALING JAYA – Masyarakat dinasihatkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha untuk melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pergerakan dan larangan penganjuran aktiviti sosial masih berkuat kuasa di negeri-negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu dan Fasa Dua.
“Antara SOP yang dikeluarkan MKN ialah larangan rentas daerah dan negeri kecuali bagi tujuan yang dibenarkan selain dua wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar untuk mendapatkan barangan keperluan tidak melebihi radius 10 kilometer (km) dari kediaman.
“Tiga orang termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dalam radius 10km atau tempat paling hampir dengan kediaman sekiranya tiada perkhidmatan kesihatan dalam radius tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, katanya, orang ramai perlu mematuhi SOP MKN yang membenarkan pergerakan merentas daerah dan negeri bagi mendapatkan vaksin dengan menunjukkan bukti janji temu di aplikasi MySejahtera, atau SMS.
“Aktiviti sosial yang boleh menyebabkan ramai orang hadir di suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP adalah tidak dibenarkan.
“Dalam peranan mendukung hasrat kerajaan itu, polis kekal komited dan akan meneruskan pemantauan pematuhan SOP dan sekiranya ada individu dengan sengaja melanggar peraturan ditetapkan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929