PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia akan menggalas cabaran Malaysia di pusingan kalah mati Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang juara bertahan dari China, Chen Long yang dijadual pada pukul 6.15 petang ini.
Meskipun dijangka berdepan tugas sukar, namun Zii Jia tetap memiliki peluang untuk melangkah ke pusingan suku akhir kerana pernah menewaskan pemain No.6 dunia itu sebanyak dua kali sebelum ini.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu memastikan tempat ke pusingan kalah mati selepas mengungguli saingan Kumpulan M dengan melakar dua kemenangan ke atas Artem Pochtarov dan Brice Leverdez.
Sekiranya berjaya melepasi halangan Chen Long, juara kejohanan Seluruh England (All England) itu akan berdepan pemain No.4 dunia dari Taiwan, Chou Tien Chen yang sedang menanti di suku akhir. – K! ONLINE