fbpx

Menang pingat emas selepas malu besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VAN VLEUTEN muncul juara dalam acara ujian masa semalam selepas sekadar meraih perak dalam acara lebuh raya Ahad lalu. – AFP

TOKYO – Impian pelumba basikal Belanda, Annemiek Van Vleuten untuk meraikan kejayaan memenangi pingat emas Sukan Olimpik Tok­yo 2020 tertunai apabila kali ini dia benar-benar muncul juara kategori ujian masa di Lebuh Raya Antarabangsa Fuji semalam.

Van Vleuten, 38, menamatkan jarak kayuhan sejauh 22.1 kilometer (m) dengan catatan masa 30 minit 13.49 saat untuk menewaskan pencabar terde­katnya di tempat kedua dari Switzerland, Marlen Reusser.

Reusser terpaksa berpuas hati apabila sekadar mencetak masa 31:09.96s, manakala pi­ngat gangsa berjaya dimenangi seorang lagi pelumba Belanda, Anna van der Breggen dengan catatan 31:15.12s.

Kejayaan tersebut tentunya amat manis buat bekas juara dunia dua kali itu yang sebelum ini memenangi pingat perak dalam acara perlumbaan lebuh raya pada Ahad lalu.

Pada saingan Ahad lalu, Van Vleuten menyangka dia berjaya memenangi perlumbaan tersebut dan meraikannya sebaik tiba di garisan penamat.

Bagaimanapun, dia te­lah tersilap apabila pelumba Austria, Anna Kiesenhofer lebih awal tiba di garisan penamat dan memenangi perlumbaan berkenaan.

“Saya tersilap meraikannya ketika itu kerana kami tidak mendapat maklumat bahawa Kiesenhofer sudah menamatkan perlumbaan,” kata Van Vleuten.

Dakwaan Van Vleuten ada benarnya kerana tiada komunikasi radio dibenarkan sewaktu Olimpik berlangsung menyebabkan dia dan pasukannya tidak menerima apa-apa maklumat berhubung perkara berkenaan.

Ia secara tidak langsung mewujudkan suasana janggal ketika Van Vleuten meraikan kejayaan itu sedangkan Kiesenhofer sedang ‘berpesta’ selepas muncul pelumba Austria pertama meraih pingat emas sejak 1896. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI