ROMPIN – Sebanyak enam lori balak diarahkan berpatah balik kerana membawa muatan balak secara berbahaya yang boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya dalam operasi yang dilakukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di sekitar daerah ini dan Jerantut, semalam.
Timbalan Pengarah Perhutanan (Operasi) JPNP, Dr. Grippin Akeng berkata, sepanjang dua hari operasi semakan pematuhan muatan balak yang berakhir semalam itu pihaknya memeriksa sebanyak 35 buah lori balak.
“Sekatan jalan raya yang dilakukan semalam berjaya mengesan enam lori balak yang membawa muatan balak secara merbahaya serta tidak mengikut garis panduan ditetapkan JPNP.
“Enam lori membawa muatan kayu balak itu diarahkan berpatah balik ke pusat pengumpulan balak bagi menyusun semula balak mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya semalam.
Menurut beliau, garis panduan berkaitan muatan kayu balak bagi setiap lori balak telah disediakan membabitkan saiz panjang dan ketinggian serta cara susunan.
Jelasnya, peraturan yang ditetapkan itu bertujuan untuk memastikan keselamatan pemandu lori balak dan juga pengguna jalan raya lain.
“Kita sudah menyediakan garis panduan, pemandu lori balak perlu mengikut aturan itu bagi mengelak berlaku sebarang masalah hingga memaksa mereka berpatah balik ke pusat pengumpulan balak,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929