SEOUL – Pemimpin dua negara iaitu Korea Selatan dan Korea Utara mengambil langkah penting ke arah pendamaian apabila memulihkan semula talian khidmat penting di sempadan, lapor agensi berita Kyodo semalam.
Talian komunikasi sempadan antara dua repbulik itu diputuskan sejak Jun tahun lalu itu apabila Korea Utara membuat protes terhadap kegagalan Seoul menghentikan aktivis menghantar risalah propaganda di Pyongyang.
Penyambungan semula talian tersebut kembali aktif secara rasmi pada pukul 10 pagi waktu tempatan, semalam.
Menurut laporan media tempatan, Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dan pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong-un telah beberapa kali bertukar surat peribadi sejak April lalu bagi membincangkan isu penting antara kedua negara.
Antara topik utama yang menjadi perhatian adalah memulihkan talian komunikasi penting di sempadan kedua-dua negara.
Mereka turut bersetuju untuk mengembalikan kepercayaan bersama dan memperbaiki hubungan diplomatik secepat mungkin.
Kenyataan dari Blue House memaklumkan, talian khidmat penting itu melibatkan panggilan telefon talian tetap melalui kabel serat optik dan faks bagi bertukar-tukar dokumen.
Kedua-dua negara turut merancang memulakan semula panggilan telefon rutin dua kali sehari pada pukul 9 pagi dan 4 petang waktu tempatan.
Sementara itu, Setiausaha Kanan Komunikasi Awam Blue House, Park Soo-hyun memberitahu langkah tersebut adalah permulaan positif dalam memulihkan hubungan dua hala antara dua negara.
“Kedua-dua pemimpin kini berada di garis permulaan ke arah perdamaian dan hubungan diplomatik yang lebih kukuh.
“Sekarang, Korea Selatan mahu memfokuskan kepada matlamat seterusnya iaitu mencapai kata sepakat mengenai proses denuklearisasi,” kata Soo-hyun
Beliau turut meletakkan harapan mengadakan satu sidang kemuncak antara kedua-dua pemimpin sebelum Jae-in tamat perkhidmatan sebagai presiden pada Mei tahun hadapan.
Sidang kemuncak antara dua buah negara Korea ini bakal menjadi batu loncatan yang menandakan kemajuan dalam proses perdamaian.
“Selain pemulihan semula talian komunikasi khidmat penting di sempadan, sistem perbincangan menerusi konfrentasi video akan melengkapkan proses kerjasama ini,” jelasnya. – Agensi