KOTA BHARU – Kerajaan Negeri Kelantan akan membuat permohonan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) untuk menambah bekalan vaksin di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, permohonan tersebut akan dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kepada pihak Mosti hari ini.
Menurutnya, setakat ini, sebanyak 33,000 dos suntikan vaksin dapat diberikan setiap sehari dan mampu menyuntik sehingga satu juta dos sebulan.
“Selepas permohonan penambahan bekalan vaksin diluluskan, kita yakin Kelantan mampu mencapai tahap imuniti kelompok. Ia mampu dicapai dengan prasarana sedia ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Program Outreach Vaksinasi yang dijalankan.
“Melihat kepada peningkatan kes harian Covid-19, kerajaan negeri juga bimbang kemudahan dan hospital akan berada dalam keadaan tenat. Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan bekalan vaksin yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Izani memberitahu, rakyat Kelantan dilaporkan tertekan dengan penularan Covid-19 ketika ini apabila mahu semua sektor ekonomi dibuka secara berperingkat dalam fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929