fbpx

Kasihani warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

SAYU hati melihat video tular yang memaparkan seorang warga emas wanita meronta-ronta di atas katilnya ketika pegawai kesihatan datang melakukan ujian pengesanan Covid-19.

Ramai yang melahirkan rasa terkilan dan marah apabila melihat warga emas yang uzur dan hanya terbaring lemah di atas katil perlu melalui proses yang tidak selesa itu. Apalah salah golongan ini.

Angkara sifat endah tak endah orang sekeliling, mereka terseksa.

Memang benar dalam situasi ini tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Tambahan pula virus Covid-19 kini semakin mengganas seperti dengan kemunculan varian Delta yang boleh merebak melalui udara dalam masa 15 saat sahaja.

Kes harian yang menghampiri angka 20,000 dengan kematian tertinggi sebanyak 207 direkodkan Isnin lalu mengundang resah.

Bagaimanapun, situasi ini boleh dielakkan dengan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya individu yang mempunyai warga emas di rumah.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor ­Hisham Abdullah melaporkan bilangan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) berada pada tahap kritikal menyebabkan para doktor perlu memilih pesakit.

Malah sebanyak 69.1 peratus daripada jumlah kematian di negara ini membabitkan warga emas.

Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Nurul Azmawati Mohamed, selain faktor umur, penyakit kronik merupakan faktor yang menyebabkan seseorang mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.

“Mereka yang sudah berumur dan mempunyai penyakit 3 atau 4 serangkai mempunyai kebarangkalian untuk pulih yang agak rendah. Justeru, mereka bukanlah calon terbaik untuk menghuni ICU walaupun keadaan mereka agak kritikal.

“Perkara ini sudah pasti menakutkan golongan warga emas. Bimbang jika dimasukkan ke hospital, tidak lagi berpeluang pulang ke rumah sebaliknya kembali ke negeri abadi,” katanya.

Ujarnya lagi, secara logiknya, mereka yang berpotensi tinggi untuk pulih pasti akan dipilih berban­ding pesakit yang sudah ber­umur dan kebarangkalian untuk pulih adalah rendah.

Walaupun tidak mendapat keutamaan untuk katil ICU, kerajaan telah memberikan keutamaan kepada warga emas untuk mendapat vaksin lebih awal daripada golongan muda. Jus­teru golongan ini perlu rebut peluang mendaftar bagi mendapatkan vaksin segera.

Dalam pada itu Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani berkata, banyak be­rita yang mendedahkan bagaimana anak-anak sebenarnya boleh menjadi pembunuh senyap.

Justeru mereka disarankan untuk kekal di tempat masing-masing dan tidak melakukan aktiviti ziarah memandangkan itu adalah langkah terbaik bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Bagi mereka yang rindukan anak dan cucu, manfaatkan teknologi dengan menggunakan aplikasi panggilan video, bersembang menggunakan aplikasi WhatsApp, bertukar gambar dan sebagainya.

“Anak-anak yang tidak pulang ke kampung bukanlah bermakna tidak sayang pada ibu bapa. Di­sebabkan sayanglah mereka sanggup menahan kerinduan kepada ibu bapa,” katanya.

Kesimpulannya, tatkala kenaikan jumlah kes harian dan jumlah kematian yang menggerunkan, kita semua hendaklah secara bersama menghentikan penularan wabak Covid-19.

Pengambilan vaksin adalah antara cara yang terbukti berkesan. Kebanyakan negara yang telah berjaya memberikan vaksin kepada lebih separuh penduduk mereka,mencatatkan jumlah kematian yang rendah dan kadar kes yang menurun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI