KELMARIN pasti rakyat Malaysia memberi tumpuan penuh kepada aksi dua penerjun berpengalaman negara, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong bersaing dalam acara 10 meter (m) platform seirama di Pusat Akuatik Tokyo.
Acara yang berpotensi menjelmakan pingat pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 tanpa mengambil kira kilauan warnanya.
Sebagai antara jutaan rakyat yang menyaksikan aksi tersebut, debaran serta harapan di dalam hati pasti ada setiap kali Mun Yee dan Pandelela mengambil tempat untuk memulakan terjunan.
Dalam penuh debaran, kita juga berdoa agar kedua-duanya melakukan terjunan terbaik. Sudah tentu debaran dua penerjun negara itu lebih hebat berbanding apa yang kita rasa.
Bukan Mun Yee dan Pandelela sahaja, bahkan 28 lagi atlet Malaysia yang lain pasti penuh debaran apabila bersaing pada Olimpik kerana mereka sedar sedang menggalas cabaran negara dan harapan lebih 32 juta rakyat di tanah air.
Mereka tidak akan saja-saja untuk kalah. Adat permainan, pasti ada yang menang dan kalah. Jadi, kegagalan Mun Yee dan Pandelela dalam menjelmakan pingat janganlah dihentam seranah mahupun dikecam.
Penulis percaya, mereka lebih kecewa berbanding kita yang hanya menyaksikan acara itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pepatah ini sudah cukup untuk difahami oleh kita semua.
Bersaing di pentas Olimpik bukan seperti acara sukaneka peringkat kampung, sesiapa sahaja boleh turut serta tanpa sebarang syarat. Sebaliknya, menyertai Olimpik banyak syaratnya, peringkat dilalui dan kelayakan perlu diharungi sebelum bersaing pada temasya sukan terbesar dunia empat tahun sekali itu.
Dalam tempoh untuk melayakkan diri ke Olimpik, bukan sekadar bakat dipertaruhkan, namun seluruh jiwa dan raga turut digadaikan. Jika jiwa tidak kental, sudah pasti ada yang terkandas di tengah jalan.
Apatah lagi dalam situasi dunia dilanda pandemik Covid-19, atlet terpaksa berdepan pelbagai kesukaran untuk mempersiapkan diri, berkorban masa dan tenaga. Berada dalam gelembung sukan berbulan-bulan lamanya, tidak berjumpa ahli keluarga, ibu bapa atau keinginan menikmati makanan kegemaran semahu-mahunya.
Atlet kebangsaan yang menyertai Olimpik bukan pergi suka-suka tetapi mewakili negara dan menjulang nama Malaysia di persada dunia. Jika bukan mereka, siapa lagi yang akan mewakili negara? Janganlah kita berfikir semudah ABC? Gagal lalu dikecam.
Seharusnya kita rasa berbangga dengan penampilan atlet-atlet negara serta menghargai kehadiran mereka pada Sukan Olimpik kerana bersaing dengan bakat-bakat terhebat dari serata pelosok dunia. Jangan bila mana mereka gagal, keluar segala caci maki, kecam segala bagai bahkan kritik tanpa segan.
Kena ingat, atlet juga manusia biasa, ada ibu bapa dan keluarga. Apakah perasaan mereka apabila anak-anak mereka yang berjuang untuk negara dilayan sebegitu rupa?
Apa yang kita mahu tunjukkan kepada generasi muda apabila melakukan hal-hal yang melukakan hati atlet negara dengan kecaman kita?