PETALING JAYA – Duta Filipina di Malaysia, Charles C. Jose mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menerusi sepucuk surat, hari ini.
Ucapan penghargaan dizahirkan berikutan kesediaan memberi kelulusan segera pemberian suntikan vaksin dos kedua untuk atlet Filipina, Hidilyn Diaz bersama dua jurulatihnya sebelum berangkat dari Kuala Lumpur untuk menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.
“Kami berkongsi kegembiraan ini bersama anda dengan kemenangan bersejarah Cik Diaz yang berjaya merangkul pingat emas untuk Filipina bagi kategori angkat berat wanita 55 kilogram pada Olimpik Tokyo.
“Dengan ucapan terima kasih dan penghargaan yang amat mendalam,” ujarnya menerusi surat yang dimuat naik di Laman Facebook rasmi Kementerian Kesihatan sebentar tadi.
Diaz dan pasukannya terkandas di negara ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19 sejak tahun lalu.
Atlet berusia 30 tahun itu turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Malaysia terutamanya mereka yang telah membantunya sepanjang menjalani latihan di Kampung Kesang Tua, Melaka. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929