IPOH – Dua syarikat masing-masing didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah kerana gagal memastikan tahap keselamatan di tempat kerja hingga berlaku kemalangan tahun lalu.
Hakim Norashima Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd. diwakili pengurus besarnya, K. Muralitharan, 48, dan Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd. diwakili pengarah, Tan Taik Chin, 54.
Kedua-dua syarikat itu didakwa secara berasingan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967.
Syarikat Hume Cemboard Industries Sdn. Bhd. didakwa gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai motor yang berada di bawah conveyor, pada bahagian outlet ‘DET’ line P2 sehingga menyebabkan kemalangan kepada P. Devan, 20.
Kejadian berlaku di Lot 127220 Kanthan Industrial Estate, Chemor kira-kira pukul 5.30 petang, 1 November 2020.
Sebuah lagi syarikat, Tan Chee Seng Sawmill Sdn. Bhd. didakwa gagal memasang pengadang pada bahagian pemacu gegancu dan rantai di inlet roller mesin veneer clipper sehingga menyebabkan kemalangan kepada Ahzi Aznam, 20.
Kejadian berlaku di Lot 78 dan 84 Medan Tasek, Tasek Industrial, kira-kira pukul 8.30 pagi, 5 November 2020.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP, Norissham Ishak itu dijalankan mengikut Seksyen 15 Akta Kilang dan Jentera 1967. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929