LONDON – Seorang duda anak dua dari Oxford, England yang mempunyai wajah mirip aktor Hollywood, Brad Pitt mengakui sukar bertemu cinta walaupun memiliki paras rupa kacak.
Menurut akhbar The Sun semalam, Nathan Meads, 35, berkata, disebabkan rupanya yang mirip bekas suami Angelina Jolie itu, dia banyak menerima tawaran iklan, namun belum menemui cinta sejati.
Ini kerana kebanyakan wanita yang ditemui di platform cari jodoh online menganggap dia menyunting gambar agar kelihatan seperti Pitt, manakala ramai wanita obses dengan dirinya hingga sanggup menghendap kehidupan peribadinya selepas berkenalan.
Disebabkan masalah itu, dia terpaksa memadamkan akaunnya di platform tersebut dan bergantung pada cara konvesional untuk mencari kekasih.
Meads yang hanya bekerja sebagai buruh binaan memberitahu, ada masanya dia melakukan kerja sambilan sebagai penyamar Brad Pitt di majlis-majlis hiburan.
“Saya mula diberitahu memiliki wajah seiras Pitt ketika berusia 20 tahun. Pada mulanya, saya hanya ketawa namun ia berterusan selama 10 tahun sebelum mencuba nasib menghantar gambar kepada agensi pengiklanan.
“Kesemua agensi itu memberi respons mengatakan mereka mahu bekerjasama dengan saya. Kebiasaannya, bagi setiap penampilan, saya akan dibayar £200 (RM1,176) hingga £500 (RM2,940),” ujarnya.
Tambah Meads, dia ialah salah seorang peminat Pitt sendiri dan mengagumi aktor itu terutama dari segi bakat lakonannya.
Namun begitu, dia tidak bercadang untuk mengikuti jejak langkah ‘kembarnya’ dalam dunia glamor dan selesa dengan kehidupan sekarang.
“Saya masih rakyat Britain yang biasa dan gembira dengan apa dimiliki sekarang. Cuma saya bertuah dikurniakan rupa paras yang elok dan serupa dengan bintang terkenal,” jelasnya. – Agensi