PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya meminta mana-mana individu yang memohon bantuan daripadanya supaya bersabar dan tidak cepat naik marah apabila mesej permohonan masing-masing tidak segera mendapat balasan.
Ujar Zara, dia menerika terlalu banyak hantaran mesej dalam Instagram (DM) oleh individu yang memohon bantuan susu dan lampin pakai buang.,
“Jangan marah-marah. Mesej saja maklumat lengkap, InsyaAllah nanti bantuan akan sampai di depan pintu rumah anda,” katanya.
Jelasnya lagi, dia menerima terlalu banyak mesej dalam Instagram termasuk mereka yang meluahkan rasa marah kerana mesej yang dikirimkan tidak mendapat balasan.
Menurut pemilik nama lengkap Zainurul Razia Mohd. Zainuddin itu, dia yang menggerakkan badan amal Malaysia Prihatin tidak akan membalas mesej berkenaan sebaliknya akan terus membuat senarai bagi yang memohon bantuan.
“Terus beri saya nama, alamat, nombor telefon, saiz lampin pakai buang dan umur anak untuk susu. Tak perlu tanya sama boleh atau tidak, bila nak dihantar, macam mana nak daftar. Tak perlu.
“Insya-Allah saya akan salurkan bantuan secepat mungkin. Saya kena buka satu per satu mesej. Jangan marah-marah sebab ada ramai yang cakap saya tidak prihatin. Saya tidak akan balas dan akan baca maklumat yang diberi,” katanya.
Pelakon drama Pia itu turut meminta orang ramai supaya mendoakan dirinya dilimpahi rezeki supaya dapat membantu lebih ramai individu yang memerlukan bantuan.
“Doakan saya sihat dan dilimpahkan rezeki supaya saya dapat berkongsi dengan semua,” ujarnya. -K! ONLINE