fbpx

Azreen mahu catat rekod terbaik di bumi Tokyo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZREEN NABILA membuat kemunculan pertama dalam acara 100m pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik.

ATLET pecut muda negara, Azreen Nabila Alias dilihat enggan mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya selain bertekad untuk tampil dengan aksi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjelang acara 100 meter (m) wanita yang membuka tirai hari ini.

Atlet kelahiran Terengganu itu membuat penampilan sulung pada temasya sukan terbesar dunia tersebut dan akan bersaing bersama sembilan pelari terbaik dalam saringan kedua pusingan kelayakan di Stadium Olimpik.

Atlet berusia 21 tahun dijangka berdepan tentangan sengit daripada pelari pecut Iran, Farzaneh Fasihi, Alshammari Mudhawi (Kuwait) dan jaguh pecut Guam, Regine Tugade-Watson.

Ketika ini, rekod terbaik peribadi Azreen Nabila adalah 11.81 saat (s) sewaktu dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Perak.

“Saya hanya mahu buat yang terbaik. Sasaran utama saya bersama jurulatih adalah memperbaiki catatan peribadi di Tokyo nanti. 

“Saya memang berhasrat mahu perbaharui rekod 11.81s sebelum ini. Saya harap mampu melakukannya,” kata Azreen Nabila.

Azreen Nabila layak ke Tokyo selepas menjadi atlet pilihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang diberikan satu slot wild card.

Untuk rekod, catatan terbaik Azreen Nabila musim ini adalah 12.00s yang dirakamkan pada April lalu, selepas mencipta kejutan menewaskan beberapa nama besar seperti S. Komalam Shally dari Perak dan atlet Johor, Siti Fatimah Mohamad untuk merangkul emas 100m pecut Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI