LONDON – Arsenal dilaporkan sedang menyiapkan dana berjumlah £77 juta (RM452.24 juta) untuk mendapatkan penyerang Inter Milan, Lautaro Martinez.
The Gunners ketika ini sedang mengintai peluang untuk mendapatkan seorang penyerang baharu, namun ia bergantung sama ada mereka mampu menjual Alexander Lacazette atau sebaliknya.
Selain Martinez, penyerang Chelsea, Tammy Abraham turut berada dalam senarai pendek pemain yang diinginkan oleh Arsenal yang dinilai sekitar £40 juta (RM234.93 juta).
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mempertimbangkan peluang untuk mendapatkan Martinez selepas Inter mendedahkan sedia melepaskan khidmat pemain berkenaan sekiranya ada pasukan yang mampu menawarkan dengan harga berkenaan.
Martinez berjaya meledak 19 gol dan melakukan 11 umpanan gol dalam 48 penampilan bersama Inter musim lalu dan dia masih mempunyai kontrak selama dua tahun di San Siro.
Arsenal membuka tawaran dengan harga £15 juta (RM88.10 juta) kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Lacazette, 30, yang telah menjaringkan 13 gol pada aksi Liga Perdana Inggeris musim lalu dan berbaki kontrak semusim sahaja lagi.
– AGENSI