SEBERANG PERAI – Kes ancaman bunuh diri yang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang meningkat lebih sekali ganda dalam tujuh bulan tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pengarah JBPM negeri, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 25 kes ancaman berkenaan tahun ini setakat semalam berbanding hanya 11 kes sehingga Julai pada tahun lalu.
“Ia suatu angka yang ketara apabila terdapat peningkatan 14 kes, bahkan telah melebihi keseluruhan angka sepanjang tahun lalu iaitu 21 kes.
“Saya percaya, perkara itu didorong oleh isu mental membabitkan masalah seperti keadaan ekonomi semasa pandemik Covid-19 dan putus cinta yang dialami mangsa,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM negeri di Batu Kawan, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan e-Poster Kolaborasi JBPM Pulau Pinang dengan Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang yang turut dihadiri pengerusi CCPSS, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah.
Sementara itu, Saadon menambah, peningkatan kes itu mendorong pihaknya menjalin kerjasama dengan CCPSS bagi membantu mangsa yang kemurungan dalam menangani kes berkenaan.
“Kaedah yang kita akan laksanakan adalah dengan memberi khidmat nasihat dan mendengar masalah kerana mereka memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan.
“Kita mewujudkan unit kaunseling bersama CCPSS yang disertai pakar-pakar (kaunselor) untuk memberi nasihat dan menyelesaikan masalah dihadapi mangsa,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929