SHAH ALAM – Semua aktiviti pembinaan melibatkan Pakej Kerja GS09 (WPC) projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diberhentikan susulan runtuhan perancah yang mengorbankan seorang pekerja dalam kejadian di Jalan Langat, Bandar Bukit Tinggi hari ini.
Syarikat Jaya Zira Sdn. Bhd yang merupakan kontraktor berkaitan dalam kenyataannya hari ini berkata, pemberhentian aktiviti itu dengan segera susulan Perintah Berhenti Kerja (SWO) telah dikeluarkan berhubungnya.
Katanya, dalam insiden itu melibatkan lima pekerja dengan empat berjaya diselamatkan dan seorang meninggal dunia.
“Kami bekerjasama dengan pihak Bomba dan Penyelamat dalam menyiasat punca kejadian.
“Selain itu, kami turut merakamkan takziah dan maaf yang mendalam kepada yang terkorban dan keluarga mereka,” katanya.
Jelasnya, pihaknya turut meminta maaf kepada masyarakat atas segala kesulitan yang ditimbulkan.
Kosmo! Online terdahulu melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh meninggal dunia selepas tertimbus dalam runtuhan perancah pembinaan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) 3 di Jalan Langat, Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929