PETALING JAYA – Kumpulan peniaga daripada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bersedia untuk beroperasi dalam prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat sekiranya kerajaan bercadang untuk membenarkan mereka beroperasi semula.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, peniaga komited untuk memberi kerjasama kepada pihak berwajib agar perusahaan dapat dilaksanakan secara selamat.
“Mereka memberi sokongan baik kepada kementerian dan SOP yang dicadangkan ini merupakan hasil daripada input yang diberikan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, MEDAC telah mengemukakan cadangan penambahbaikan SOP kepada kerajaan untuk membantu mempercepatkan pembukaan sektor PMKS.
Cadangan SOP baharu itu memfokuskan kepada enam aktiviti ekonomi di bawah kategori pertama ditutup, terakhir dibuka (FCLO).
Ia terdiri daripada segmen makanan dan minuman (makan dalam premis), pusat beli-belah, kedai jam, servis kecantikan, pusat kecantikan dan kedai gunting rambut.
Hampir separuh daripada aktiviti perniagaan yang dikenalpasti itu dimiliki usahawan wanita iaitu golongan paling terjejas akibat penutupan ekonomi.
Wan Junaidi menjelaskan, antara SOP baharu yang dicadangkan adalah pemilik perniagaan dan pekerja perlu melengkapkan dua dos vaksin serta mengambil ujian saringan Covid-19 secara mingguan.
Peraturan lain adalah premis perlu ditutup serta-merta bagi tujuan sanitasi sekiranya terdapat kes Covid-19 dikesan.
Selain itu, Wan Junaidi memaklumkan, sektor PMKS, yang menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar berada di ambang kehancuran sekiranya penutupan ekonomi seluruh negara berterusan.
Berdasarkan kaji selidik MEDAC, dianggarkan kira-kira 580,000 perniagaan daripada sektor PMKS berisiko ditutup sekiranya masih tidak dibenarkan beroperasi menjelang Oktober.
Ia kebanyakannya di bawah kategori FCLO dengan melibatkan tujuh juta individu bakal hilang pekerjaan.