KLUANG – Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya melumpuhkan satu kegiatan sindiket penjualan dan pengedaran rokok apabila menahan seorang lelaki di sebuah rumah kosong di Jalan Murni di sini malam semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Dimin Awang berkata, dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu, pihaknya berjaya merampas 5,580 karton rokok pelbagai jenama tidak bercukai.
Katanya, rampasan itu adalah yang terbesar dilakukan pada tahun ini dan percaya suspek sudah melakukan kegiatannya itu sejak tiga bulan lalu.
“Hasil siasatan juga mendapati rokok tersebut dipercayai diseludup dari Indonesia untuk pasaran tempatan.
“Jumlah anggaran nilai rokok adalah RM269,324 dan nilai cukai rokok sahaja mencecah RM717,132 menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM 987,456,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929