fbpx

Rapid Rail diarah buat siasatan penuh 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) diminta menyerahkan laporan siasatan penuh dan semua dokumen sokongan berhubung insiden pintu tren transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang terbuka ketika beroperasi pada Isnin lalu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya memberi tempoh selama 21 hari bagi menyediakan laporan itu atau selewat-lewatnya sebelum 16 Ogos depan.

Beliau berkata, Rapid Rail juga diminta menyediakan laporan siasatan awal dalam tempoh tujuh hari iaitu sebelum 2 Ogos ini.

“Tindakan selanjutnya ke atas pengendali berlesen perkhidmatan kereta api tersebut akan diputuskan setelah laporan lengkap dan maklumat penuh mengenai insiden tersebut diperoleh.

“Pada masa sama, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga akan membuka kertas siasatan bagi kes ini dan ia akan disiasat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Di bawah Akta 715 itu, aspek keselamatan adalah suatu keutamaan dan syarat di bawah lesen pengendali perkhidmatan kereta api,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.

Ka Siong berkata, dapatan awal siasatan pihak APAD mendapati ia adalah berpunca daripada sistem Door Close Confirmation Unit (DCCU) yang gagal berfungsi secara normal.

Bagaimanapun, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan bahawa punca sebenar adalah kerana kegagalan DCCU tersebut memandangkan juga berkaitan dengan penyelenggaraan dan juga prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tren ketika menghadapi masalah teknikal. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI