SHAH ALAM – Taktik pemindahan gas petroleum cecari (LPG) bersubsidi pada awal pagi di sebuah premis perniagaan dua tingkat di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa hari ini.
Serbuan dilakukan pukul 2 pagi turut menahan dua termasuk pemilik perniagaan berusia 41 dan 47 tahun oleh sepasukan anggota dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Selangor.
Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kejayaan itu hasil risikan selama sebulan berikutan terdapat lori membawa gas petroleum cecair keluar masuk ke premis terbabit.
Katanya, ketika serbuan didapati dua suspek sedang menjalankan proses pemindahan gas.
“Hasil pemeriksaan kemudian menemui sebanyak 123 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14 kilogram (kg), 60 silinder gas petroleum cecair bersubsidi 14kg (kosong) dan 45 silinder gas petroleum cecair industri 50kg (kosong)
“Turut disita adalah peralatan pemindahan gas dan dokumen invois belian. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM27,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menambah, siasatan sedang dijalankan mengesan pembekal yang terlibat di sebalik aktiviti itu selain akan mensabitkan kesalahan terhadap pemilik premis berkenaan.
Ujar Muhamad Zikril, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di premis selain daripada yang dilesenkan atau dibenarkan oleh pengawal.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duaya sekali, manakala denda tidak lebih RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan,” katanya. -K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929