fbpx

Populasi Harimau Malaya semakin terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA merupakan sebuah negara yang menjadi habitat bagi spesies harimau belang yang juga dikenali sebagai Harimau Malaya.-GAMBAR HIASAN

TANGGAL 29 Julai setiap tahun dipilih sebagai sambutan Hari Harimau Sedunia.

Sambutan yang diraikan sejak tahun 2010 itu dibuat sebagai salah satu usaha bagi memastikan populasi harimau tidak mengalami kepupusan.

Malaysia sendiri merupakan sebuah negara yang menjadi habitat bagispesies harimau belang dikenali sebagai Harimau Malaya.

Harimau Malaya, atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni, merupakan subspesies harimau belang yang terdapat di hutan Semenanjung Malaysia terutamanya di Pahang, Perak, Terengganu dan Kelantan.

Haiwan yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Belang’ itu begitu sinonim dengan masyarakat negara ini tanpa mengira usia yang rata-rata menganggapnya sebagai haiwan yang gagah dan berani.

Jika tersilap langkah, pemangsa liar ini boleh mengancam nyawa manusia.

Disebabkan harimau begitu ikonik sejak zaman dahulu dan dihikayatkan dalam cerita-cerita rakyat, tidak hairanlah Harimau Malaya diangkat darjatnya menjadi simbol yang signifikan buat Malaysia hingga tersemat di jata negara sebagai lambang gagah berani.

Pensyarah Kanan Sosio Perundangan dan Sains Kelestarian di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr. Mohd. Istajib Mokhtar menjelaskan, ironinya kini, Harimau Malaya menjadi haiwan yang lemah, penakut dan diancam kehidupannya.

Menurutnya, di seluruh dunia, tiga subspesies harimau belang telah pupus, manakala sembilan subspesies lagi dalam keadaan sangat terancam.

PENEROKAAN hutan telah menyebabkan harimau terancam keselamatannya.-GAMBAR HIASAN

“Sekitar tahun 2018, hasil Tinjauan Harimau Kebangsaan di plot kajian habitat mamalia pemangsa itu menunjukkan, bilangan yang direkodkan adalah kurang daripada 200 ekor. Pengurangan jumlah harimau itu agak ketara berbanding kajian ilmiah pada tahun 1950-an yang menyatakan jumlahnya mencecah 3,000 ekor.

“Data ini amat membimbangkan. Jika tiada langkah drastik dalam mengawal penurunan populasi ini, jangkaan dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, Malaysia berkemungkinan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Istajib menghuraikan, terdapat beberapa punca yang menjadi penyebab Harimau Malaya kini semakin terancam.

Terangnya, kehilangan habitat hutan yang menjadi faktor utama mengancam populasi haiwan terbabit.

Hutan berperanan sebagai ‘koridor’, ‘dapur’ dan ‘bilik tidur’ bagi haiwan tersebut.

Degradasi hutan menyebabkan harimau kekurangan sumber makanan, manakala fragmentasi hutan pula menyebabkan ‘bilik tidur’ dan ‘koridornya’ musnah dan digantikan lebuh raya sehingga sukar berjumpa ‘jodoh’ untuk melahirkan penyambung zuriat.

Mohd. Istajib menegaskan, punca lain yang menyebabkan haiwan itu hampir pupus adalah disebabkan pemburuan haram.

“Walaupun Harimau Malaya merupakan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), namun pemburu haram tempatan dan luar negara tetap ghairah memburunya.

“Mereka tanpa rasa bersalah menyeludup masuk hutan dan memasang perangkap secara haram, seterusnya menjual kuku, taring, kulit dan dagingnya demi mendapat keuntungan berlipat ganda,” jelasnya lagi.

PENEROKAAN hutan juga telah menyebabkan harimau sukar untuk mencari sumber makanan. GAMBAR HIASAN

Selain itu, kekurangan sumber makanan juga mengancam habitat dan populasi harimau.

Ia turut dikaitkan dengan kehilangan hutan dan pemburuan haram yang tidak terkawal.

Dalam hal ini, harimau semakin sukar memburu mangsa terpaksa berjalan lebih jauh untuk mencari makanan.

Keadaan ini membuatkannya terdedah dan mudah dijumpai pemburu haram ketika dalam keadaan lapar dan lemah.

Selain itu, perdagangan hidupan liar juga menjadi punca kepada permasalahan ini.

Manusia tidak lagi takut dimakan harimau di hutan, tetapi harimau ketakutan dijadikan makanan eksotik manusia.

“Pemburuan haram terus berlaku walau pelbagai sekatan dilakukan disebabkan terdapat pihak tertentu membeli hasil buruan pada harga tinggi.

“Pemburu sanggup lakukan apa sahaja demi keuntungan. Tulang, darah dan organ seksnya menjadi bahan dagangan di pasar eksotik untuk dibuat tangkal serta ubat kuat.

“Punca lain yang menyumbang kepada kepupusan harimau adalah konflik antara harimau dan manusia, perubahan iklim serta kurangnya kesedaran masyarakat bagi melindungi haiwan yang menjadi kebanggaan kita selama ini,” tegasnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI