BINTANG tenis Russia, Daniil Medvedev terpaksa bergelut dengan cuaca panas melampau sebelum berjaya melangkah ke suku akhir Sukan Olimpik Tokyo di Ariake Tennis Park hari ini.
Medvedev yang diletakkan sebagai pilihan kedua meraih kemenangan 6-2, 3-6, 6-2 ke atas Fabio Fognini dari Itali untuk mara ke suku akhir.
Sebelum itu, Medvedev dilihat tidak selesa dan terlalu kepenatan sehingga terpaksa meminta dua ‘time out’ untuk mendapatkan rawatan.
Pengadil perlawanan, Carlos Ramos terpaksa mendapat persetujuan daripada Medvedev sama ada dia mampu untuk meneruskan aksi berkenaan.
“Saya boleh meneruskan perlawanan tetapi jika saya mati adakah kamu akan bertanggungjawab?
“Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk merasa lebih baik. Saya hampir pengsang di gelanggang,” jelasnya.
Sebaik perlawanan berkenaan berakhir, penganjur mengakui akan mempertimbangkan waktu perlawanan yang mungkin akan dianjurkan pada sebelah petang mulai esok.
Pada set pertama, Medvedev mendapatkan rawatan perubatan ketika mendahului 5-2 dan sekali lagi mengambil ‘timeout perubatan ketika ketinggalan 4-3 pada set kedua.
“Saya rasa seperti dada saya telah tersekat dan sukar untuk bernafas.
“Hari ini mungkin hari yang paling panas terpaksa kami lalui setakat ini,” katanya.
Medvedev akan menentang Pablo Carreno Busta yang juga pilihan keenam dari Sepanyol pada aksi suku akhir nanti. – AGENSI