TOKYO – Atlet tinju veteran yang juga juara dunia enam kali, Mary Kom berharap dapat meneruskan momentum cemerlang sekali gus membuktikan kehadirannya pada temasya Sukan Olimpik 2020 bukan pelengkap dalam usaha menyumbangkan pingat emas buat kontinjen India.
Sebagai rekod, Mary Kom yang beraksi untuk acara flyweight 51 kilogram (kg) dijadual bertemu wakil Colombia, Ingrit Valencia pada aksi suku akhir esok selepas menewaskan jaguh Republik Dominican, Mugelina Hernandez Garcia pada Ahad lepas.
Di atas kertas, Valencia memiliki kelebihan untuk mara ke pentas separuh akhir apabila diletakkan sebagai pilihan ketiga tetapi rekod pertemuan pada dua pertarungan sebelum ini memihak kepada Kom yang kini berusia 39 tahun.
Kom berkata, motivasinya cukup membara dalam usaha melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kerana sememangnya mahu menambah koleksi pingat Olimpik apabila hanya meraih pingat gangsa pada temasya edisi 2012 di London.
“Saya sudah memenangi hampir semua kejuaraan yang ada untuk kategori flyweight antaranya pingat gangsa Olimpik 2012, pingat emas Sukan Komanwel dan juara dunia sebanyak enam kali. Bukan mudah untuk kekal konsisten tetapi saya telah buktikan tiada apa yang mustahil.
“Cuma, saya percaya pingat emas Olimpik akan menjadi pelengkap karier saya dan sasaran itulah yang membuatkan saya sentiasa memberi tumpuan penuh di atas gelanggang tidak kira pada hari pertarungan atau ketika sesi latihan.
“Malah, semua orang tahu kesengsaraan yang dihadapi rakyat India sejak penularan Covid-19 awal tahun lalu dan sekiranya saya berjaya meraih pingat emas, ia mungkin memberi sedikit keceriaan kepada mereka yang berada di tanah air dan bersama-sama meraikan kegembiraan,” kata Kom. – AGENSI