KOTA BHARU – Enam beranak hanya mampu menjamah hidangan nasi berlaukkan garam sekiranya tiada makanan lain yang dapat disediakan di rumah mereka sejak beberapa bulan lalu.
Mohd. Romzi Ab. Rahman, 38, berkata, dia tiada pilihan lain selepas hilang punca pendapatan empat tahun lalu apabila disahkan menghidap masalah kegagalan buah pinggang kronik.
“Hidangan nasi berlauk garam itu merupakan pilihan terakhir yang menjadi santapan keluarga selepas bekalan roti atau keperluan lain habis,” katanya.
Isteri Mohd. Romzi, Norhamizah Mohd. Yusof, 29, berkata, suaminya kini tidak mampu bekerja dan hanya berharap bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pencen ilat
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) masing-masing berjumlah RM500 sebulan.
Katanya, dengan wang tersebut, ia digunakan sebaiknya untuk menampung perbelanjaan mereka bersama empat anak berusia antara satu tahun hingga 8 tahun selain kos perjalanan rawatan dialisis.
“Suami terpaksa berhenti kerja di sebuah kilang pembuatan makanan di Padang Tembak, Pengkalan Chepa selepas disahkan sakit buah pinggang kronik,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, sebelum ini, dia juga bekerja di kilang sama dengan suami, namun terpaksa berhenti untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak yang masih kecil.
“Buat masa ini, saya hanya mengambil tempahan membuat roti jala, puding gula hangus dan laksa. Bagaimanapun, oleh kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh bulan lalu, jualan merudum,” katanya.
Katanya, selain perubatan suami, dia memerlukan perbelanjaan keperluan anak-anaknya termasuk dua lagi yang masih menggunakan lampin pakai buang dan minum susu formula.
Orang ramai boleh menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nor Hamizah, 0301041000419146 atau bank CIMB Mohd. Romzi iaitu 7621894358 dan boleh hubungi mereka di talian 017-945 2198.