fbpx

Lawatan maya Zoo Taiping pikat penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas zoo memberi makan pada sekumpulan gajah semasa sesi lawatan maya ‘Online Now, Onsite Later’ di Zoo Taiping baru-baru ini.

TAIPING – Sesi lawatan maya Zoo Taiping & Safari Malam (Zoo Taiping) menerusi platform Facebook dan Instagram yang diperkenalkan awal bulan ini mendapat sambutan baik warga maya apabila membawakan penonton melihat haiwan-haiwan di dalam zoo ini.

Sesi siaran langsung ini antara inisiatif untuk berkongsi dan memberi pendedahan mengenai haiwan-haiwan yang ada di dalam Zoo Taiping disamping melihat pengoperasian zoo meskipun ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, usaha ini juga selaras dengan lima objektif Zoo Taiping iaitu konservasi, pembelajaran, penyelidikan, latihan dan rekreasi.

Menurut beliau, tarikan bagi lawatan maya ‘Online Now, Onsite Later’ ini apabila penonton dapat melihat sesi memberi makan, perkongsian ilmu dan fakta yang menarik mengenai spesies yang dipamerkan.

“Penonton juga dapat bertanya secara terus soalan melalui sesi siaran langsung ini kepada pegawai zoo yang bertugas terutama para pelajar daripada pelbagai institusi pendidikan.

“Sepanjang sesi ini, Zoo Taiping juga telah menerima sumbangan awam dengan jumlah terkumpul sebanyak RM8,028.88 bagi dua episod yang telah dijalankan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Mesyuarat Penuh Bulanan MPT yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Khairul Amir berkata, sesi siaran langsung ‘Online Now, Onsite Later’ yang disiarkan pada setiap hari Ahad juga akan ditukar pada hari Sabtu pukul 10 pagi bagi membolehkan penonton di Kedah, Kelantan dan Johor mengikuti sesi tersebut.

Dalam perkembangan lain katanya, sepanjang tahun ini Zoo Taiping telah menerima
beberapa sumbangan bagi membantu dalam aspek pembiayaan makanan.

Antaranya sumbangan empat tan daging sejuk beku daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemerikasaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja (tiga tan daging beku), syarikat Ayam Dindings (2.5 tan ayam beku) dan Ayamas (tiga tan ayam beku)

“Zoo Taiping mengucapkan terima kasih dan sumbangan ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjaga kebajikan haiwan-haiwan,” ujar Khairul Amir. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI