fbpx

Kem gimnastik AS kalut, Biles buat keputusan mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BILES membuat keputusan untuk menarik diri dalam acara individu all-around yang berlangsung esok. - AFP

GIMNAS sensasi Amerika Syarikat (AS), Simone Biles tidak akan mengambil bahagian pada aksi final individu all-around di Pusat Gimnastik Ariake esok kerana mahu memberi fokus kepada kesihatan mentalnya.

Ini adalah kali kedua Biles, 24, menarik diri pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas enggan terbabit pada final acara berpasukan wanita all-around semalam.

Ketiadaan juara Olimpik empat kali itu menyaksikan dominasi AS selama 11 tahun dalam acara berkenaan akhirnya lebur apabila meraih tempat kedua, tewas kepada Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC).

“Biles menarik diri daripada aksi final individu all-around selepas membuat penilaian perubatan bagi memberi fokus kepada kesihatan mentalnya.

“Keadaannya akan dipantau setiap hari untuk memastikan sama ada dia masih boleh mengambil bahagian dalam aksi final individu minggu depan.

“Sehubungan itu, Jade Carey yang mendapat markah kesembilan tertinggi sewaktu pusingan kelayakan akan menggantikan tempatnya untuk acara all-around,” menurut kenyataan daripada USA Gymnastics.

Sementara itu, Biles yang sudah memenangi 19 pingat emas Kejohanan Dunia, menjelaskan tindakan berkenaan kerana baginya, kesihatan mentalnya lebih penting daripada sukan ketika ini.

“Saya tidak lagi mempercayai diri saya. Mungkin saya semakin tua dan sudah mula merasai beban dunia.

“Kami bukan sahaja atlet, kami juga orang biasa yang adakalanya mahu berada di belakang sahaja.

“Saya tidak mahu keluar dan melakukan sesuatu yang bodoh dan akhirnya mendapat kecederaan. Benar ini adalah Sukan Olimpik tetapi saya tidak mahu diusung keluar dengan menggunakan pengusung,” katanya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI