SHAH ALAM – Tiga termasuk bekas wartawan mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya di Mahkamah Tinggi Syariah hari ini atas pertuduhan menjelaskan doktrin palsu dan mempersendakan ayat al-Quran, antara Disember tahun lalu hingga Februari tahun ini.
Ketiga-tiga tertuduh, Wan Norhayati Wan Alias, 42; Noorafiza Ahmad, 46, dan Prof. Madya Abdul Hamid Yeop Zainnuddin, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee @ Shaii.
Terdahulu pada prosiding tersebut, Wan Norhayati menjelaskan telah bebas daripada kuarantin selepas disyaki menjadi kontak rapat kepada salah seorang banduan di penjara sebelum ini.
Dalam prosiding tersebut, Wan Norhayati atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati yang merupakan ibu tunggal didakwa tiga pertuduhan dan Noorafiza merupakan pembantu tadbir di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia pula didakwa satu pertuduhan manakala Abdul Hamid mempunyai dua pertuduhan yang masing-masing melibatkan menjelaskan doktrin yang bertentangan dengan hukum syarak menggunakan Facebook mereka.
Wan Norhayati dan Noorafiza melakukan kesalahan pada 2 Disember hingga 2 Februari lalu sementara Abdul Hamid pula kira-kira pukul 9 malam pada 2 Februari lalu di Taman Dato Razali, Kampung Melayu Ampang dekat sini.
Justeru, mereka didakwa mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi tersebut, jika disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.
Abdul Hamid yang merupakan bekas pensyarah Matematik Universiti Teknologi Malaysia dan semasa prosiding itu berkerusi roda turut didakwa satu lagi pertuduhan mempersendakan ayat al-Quran pada pukul, tarikh dan lokasi yang sama.
Sabit kesalahan, dia boleh didenda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
Pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Zainor Rashid Hassim manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Syarie Wan Akram Datuk Zainal Abidin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan keseluruhan jaminan sebanyak RM11,000 bagi Wan Norhayati manakala Noorafiza RM5,000 dan tarikh perbicaraan ditetapkan 2 November depan.
Abdul Hamid pula dikenakan jaminan RM9,000 dengan tarikh perbicaraan pada 18 Januari tahun depan.
Kesemua mereka juga dijamin dengan dua orang penjamin, perlu melapor diri di Pejabat Agama Islam Daerah terdekat serta dilarang memuat naik apa-apa status di media sosial.
Kosmo! sebelum ini ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 4 Mac lalu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929