TOKYO – Atlet angkat berat wanita Filipina, Hidilyn Diaz mencipta fenomena tersendiri apabila menamatkan penantian 97 tahun untuk menghadiahkan negara kelahirannya pingat emas Sukan Olimpik pertama selepas mendominasi acara 55 kilogram (kg) kelmarin.
Kejayaan dramatik yang diraih oleh Diaz itu menyaksikan dirinya bakal mendapat ‘durian runtuh’ daripada kerajaan Filipina yang dilaporkan akan menghadiahkan wang tunai sebanyak 33 juta peso (RM2.6 juta) dan beberapa ganjaran lain daripada syarikat swasta termasuk sebuah rumah.
Pada pertarungan tersebut, Diaz yang berusia 30 tahun berjaya melakukan angkatan terakhir 127 kilogram (kg) untuk mengatasi pemegang rekod dunia dari China, Liao Qiuyun manakala atlet Kazakhstan, Zulfiya Chinshanlo di kedudukan ketiga.
Kata Diaz, pencapaian yang diraihnya cukup luar biasa terutama selepas mengharungi cabaran hebat ekoran pandemik Covid-19 apabila terpaksa menjalani latihan di Malaysia sejak awal tahun lalu kerana sekatan ke luar negara.
“Ini adalah kemenangan luar biasa dan saya masih lagi tidak percaya apabila berjaya menamatkan penantian Filipina untuk meraih pingat emas pertama pada temasya Olimpik kali ini.
“Pingat ini saya dedikasikan kepada seluruh rakyat Filipina supaya menjadi simbol harapan bahawa segala impian boleh dilaksana sekiranya anda bekerja keras.
“Apa yang pasti, saya tidak sabar untuk pulang ke tanah air bertemu dengan keluarga dan sahabat terdekat selepas terkandas di Malaysia sejak penularan pandemik Covid-19 tahun lalu,” katanya.
Diaz yang meraih pingat perak pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro kini dianggap sebagai legenda terbaik sepanjang zaman yang pernah dilahirkan Filipina dalam sukan itu setanding jaguh tinju, Manny Pacquiao. – AGENSI