fbpx

Dewan Rakyat: Doktor kontrak bukan penjenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa agar doktor-doktor kontrak yang terlibat dengan gerakan Hartal Doktor Kontrak tidak dilayan seperti penjenayah.

Saifuddin Nasution berkata, satu penjelasan tuntas harus diberikan susulan satu kenyataan dari seorang peguam, yang memaklumkan beberapa orang doktor telah disoal siasat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) berhubung gerakan itu.

“Saya baru menerima kenyataan dari seorang peguam yang memaklumkan pihaknya perlu bergegas PKRC Maeps selepas Pengarahnya telah membuat laporan polis semasa Hartal Doktor Kontrak dan polis telah datang untuk soal siasat doktor-doktor terlibat dari pukul 12 tengah malam sehingga 4 pagi.

“Waktu begitu, mereka sedang jalankan tugas mereka untuk uruskan pesakit, jadi saya fikir ini intimidasi,” katanya pada sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana Menteri Kesihatan telah memberi jaminan tidak ada tindakan akan dikenakan kepada doktor-doktor kontrak yang terlibat.

“Mereka membuat tuntutan, tiada kekecohan, kepentingan pesakit juga tidak diabaikan. Menteri beri jaminan tiada tindakan tetapi tiba-tiba ada soal siasat dan dibuat dalam Maeps di mana peguam tidak diberikan kebenaran untuk masuk kerana tiada autoriti.

“Perkara ini harus dihentikan, jangan rosakkan lagi semangat dan moral doktor-doktor ini, cukuplah. Mereka sudah penat secara mental dan fizikal, tolong henti layan mereka seperti penjenayah. Sistem kesihatan telahpun lumpuh, jangan bebankan mereka lagi,” katanya.

Katanya, perkara itu adalah keputusan politik yang boleh dibuat segera melalui Menteri Dalam Negeri terus kepada Ketua Polis Negara bagi memaklumkan hal berkenaan hartal doktor kontrak itu telah diberi jaminan oleh Menteri Kesihatan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI