KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 29 dan 30 September ini bagi mendengar hujah di akhir kes pembelaan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi hari ini.
Menurut Joy Jothi, prosiding penghujahan itu akan berlangsung di hadapan hakim yang mendengar kes itu sebelum ini iaitu Datuk Azman Abdullah.
“Pada awal Julai lalu, pihak pendakwaan dan pembelaan telah menyerahkan hujahan bertulis kepada mahkamah,” katanya.
Berita berkaitan: Kes bunuh Zulfarhan akhirnya ditutup
Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Berita berkaitan: Ada orang suruh saya tumbuk Zulfarhan
Abdoul Hakeem pula didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri.
Selain itu ialah Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan dia mencuri komputer riba.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi, 21 Mei 2017. – K! ONLINE