PETALING JAYA – “Air mata dan kopiah itu tidak boleh selamatkan kamu lagi dah.”
Demikian kata aktivis kemanusiaan dan penyanyi rap, Caprice yang memaklumkan terlalu banyak ugutan diterimanya apabila fitnah semakin berleluasa.
“Saya tak boleh berdiam diri lagi dah. Terlalu banyak ugutan diterima. Jadi, terpulanglah.
“Kita akan terangkan satu per satu dan pertahankan diri daripada setiap tuduhan. Fitnah merupakan satu jenayah dalam Islam dan lagi teruk daripada membunuh.
“Insya-Allah, nanti kalian akan dapat lihat dan faham mengapa saya sangat terluka dan mengapa selama ini, satu Malaysia kena tipu,” kata pelantun lagu Lenglui itu menerusi satu muat naik video terbaharu dalam Instagram.
Caprice atau nama lengkapnya, Ariz Ramli, 33, sekali lagi tampil mempersoalkan kewajaran dan menafikan isu dirinya menepis tangan Ustaz Ebit Lew ketika mereka bertemu sekitar awal Julai lalu di Mesir seperti didakwa pendakwah bebas berkenaan dalam sesi siaran langsung Instagram atau IG Live baru-baru ini.
Dalam video itu, Caprice juga berkongsi tangkap layar perbualannya dengan pendakwah kesayangan negara itu yang memperlihatkan dirinya meminta keizinan daripadanya memuat naik video perjumpaan mereka sebelum ini. – K! ONLINE