JAKARTA – Seorang lelaki dari Jogjakarta, Indonesia meraih simpati netizen selepas gambar sepanduk menyatakan kesanggupannya menjual buah pinggang dan darah untuk mendapatkan sedikit wang, tular di laman Twitter semalam.
Menurut portal Suara.com, lelaki dikenali sebagai Yitno itu berkata Perintah Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) darurat akibat Covid-19 telah menjejaskan pendapatannya.
Justeru, dia sanggup menjual sebelah buah pinggang dan darahnya buat mereka yang memerlukan atau mahu membelinya.
“Sanggup menjual darah dan sebelah buah pinggang bagi mereka yang memerlukan. Sila hubungi Pak Yitno di talian tertera,” tulis sepanduk itu.
Menurut keterangan gambar di twitter, sepanduk itu dipacak di simpang empat XT Square, Kota Jogja.
“Ada penduduk terdesak mahu jual buah pinggang dan darah demi mendapatkan sejumlah wang.
“Adakah situasi ini dikatakan pemerintah masih di bawah kawalan,” tulis keterangan itu lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Kulon Prog, Asisten Komisioner Tartono memaklumkan bahawa pihaknya sudah menjejaki Yitno dan menyumbangkan sedikit bantuan bagi meringankan bebannya.
“Yitno adalah bekas banduan yang sukar mendapat pekerjaan maka disebabkan itu, dia terdesak mahu menjual organ badan.
“Pihak kami telah memberi sedikit sumbangan meskipun dia bekas penjenayah. Apa yang penting, dasar keperimanusiaan antara kita semasa pandemik ini,” ujar Tartono. – Agensi