fbpx

Sistem e-Tanah diperluas, boleh diguna pakai menjelang 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin berucap merasmikan sambutan Hari Tanah Negara 2021 di saluran RTM hari ini.

PUTRAJAYA – Sistem pentadbiran tanah secara elektronik iaitu sistem e-Tanah akan diperluas ke Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya selain tujuh negeri lain dan dijangka akan selesai dibangunkan serta boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya pada tahun 2024.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peluasan sistem e-Tanah secara kerjasama awam swasta (PPP) itu akan turut meliputi Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan untuk dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri bagi pelaksanaan urusan pentadbiran tanah.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa sistem e-Tanah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak tahun 2017 sebelum diperluaskan ke Perak pada Februari lepas.

“Sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Malah, semasa peringkat awal pandemik Covid-19 melanda negara pada tahun lalu, kita menyaksikan sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara dalam talian dengan cekap dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Tanah Negara Tahun 2021 dengan tema ‘Mendepani Cabaran Pasca Covid-19 dalam Pentadbiran Tanah’ di saluran Radio Televisyen Malaysia hari ini.

Justeru, Perdana Menteri berharap agar peluasan sistem e-Tanah akan memberikan impak positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia dan seterusnya menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan di dalam negara.

“Saya percaya, pelaksanaan Sistem e-Tanah ini akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara di samping meningkatkan hasil kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya,” katanya.

Sistem e-Tanah antara lain bertujuan menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuatkuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI