fbpx

Sindiket rokok RM1.01 juta tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek bersama rokok seludup yang ditahan PGA.

SHAH ALAM – Kegiatan satu sindiket pengedaran rokok sejak dua tahun lalu tumpas dengan merampas 4,410 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1.01 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan di sekitar Subang Jaya dekat sini semalam.

Serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam tempoh empat jam bermula pukul 1 tengah hari itu turut menahan lima ahli sindiket berusia 18 hingga 24 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, ketika serbuan pertama dilakukan pihaknya mendapati empat lelaki sedang memunggah kotak rokok dari lori ke dalam sebuah premis di Jalan USJ, Subang Jaya.

Katanya, hasil pemeriksaan kemudiannya menemukan 2110 karton rokok di dalam kenderaan dan premis tersebut.

“Soal-siasat kemudiannya membawa serbuan di sebuah lagi premis di Jalan Perindustrian berhampiran lokasi pertama dengan merampas 2300 lagi karton rokok.

“Siasatan awal mendapati pasaran rokok itu adalah bagi kedai runcit di sekitar kawasan USJ, Subang Jaya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Difahamkan jarak antara kedua-dua serbuan adalah kira-kira lima kilometer dengan rokok melibatkan jenama LA, Premium dan Zon King.

Rizal menambah kejayaan ini secara langsung memutuskan sindiket yang telah beroperasi selama dua tahun di lokaliti tersebut.

Beliau menegaskan, kesemua suspek dan rampasan rokok serta lori digunakan sindiket itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967. -K!ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI