fbpx

Sindiket edar dadah melibatkan pelajar Timur Tengah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada enam suspek ketika sidang akhbar, di IPD dekat sini hari ini.

PETALING JAYA – Sindiket pengedaran dadah jenis ganja melibatkan penuntut negara Timur Tengah tumpas dengan penangkapan enam individu di dua lokasi berasingan di Sungai Way dan Shah Alam pada Khamis dan Jumaat lalu.

Suspek yang terdiri daripada lima pelajar di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur dan Selangor serta seorang penganggur berusia 20 hingga 34 ditahan bersama ganja yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM34,731.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, melalui serbuan pertama kira-kira pukul 6.30 petang Khamis lalu, polis memberkas dua suspek di hadapan lobi sebuah pangsapuri di Sungai Way, dekat sini.

“Pemeriksaan lanjut terhadap dua suspek menjumpai dadah jenis ganja yang disimpan dalam plastik putih di dalam seluar pendek bahagian hadapan poket (sebelah kiri).

“Soal siasat ke atas kedua-dua suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di pangsapuri sama dan menjumpai ganja di salah sebuah bilik dan memberkas dua lagi suspek,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), dekat sini hari ini.

Jelas beliau, hasil soal siasat ke atas keempat-empat suspek telah membawa penahanan dua lagi suspek kira-kira pukul 6.15 petang, selang sehari kemudian.

“Kedua-duanya ditahan di tepi Jalan Persiaran Golf, Shah Alam dan pemeriksaan lanjut ke dalam kereta yang dinaiki suspek menemui ganja yang disorok dalam beg galas hitam,” ujarnya.

Menurutnya, semakan terhadap keenam-enam suspek mendapati mereka aktif dengan kegiatan pengedaran dadah antara empat hingga 12 bulan dan kesemua mereka direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI