KOTA BHARU – Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan untuk membebaskan dua suspek yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Ameruddin Yusoof, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim Zaman Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan Sarjan Polis Diraja Malaysia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh didakwa secara rasuah meminta suapan RM5,000 daripada seorang lelaki untuk membebaskan dua lelaki yang ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.
Kesalahan itu dilakukan olehnya di Kampung Lembah Semerak, Pasir Puteh, kira-kira pukul 1 tengah hari pada 1 April 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Ameruddin didakwa menerima suapan sebanyak RM5,000 daripada lelaki yang sama untuk membebaskan dua individu itu.
Kesalahan itu dilakukan di Bandar Baru Pasir Puteh, kira-kira pukul 6.50 petang, pada 1 April 2019.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama bagi kesalahan itu.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut jumlah yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE