JAKARTA – Sebuah warung makanan di Kabupaten Garut, Jawa Barat mendapat perhatian netizen apabila menawarkan promosi hidangan yang unik.
Warung Ramenjangar 69 yang menjual mi ramen itu membuat promosi beli satu percuma satu kepada semua pelanggan kecuali seorang iaitu Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
“Promosi hebat mi ramen istimewa dengan harga diskaun. Semua orang dipelawa menikmati promosi beli satu percuma satu kecuali Tuan Presiden (Jokowi),” tulis kain rentang tersebut.
Namun begitu, kain rentang promosi itu diturunkan tidak lama selepas dipasang apabila pihak polis dilaporkan mengunjungi warung berkenaan.
Kisah tersebut mengundang banyak komen daripada pengguna media sosial dan memberitahu penjual agar tidak melakukan promosi keterlaluan.
“Guna nama Presiden Jokowi, akhirnya terima padah,” tulis seorang warga net. – Agensi