TOKYO – Perenang sensasi Great Britain, Adam Peaty mencipta sejarah baharu di pentas Olimpik selepas menjuarai 100 meter (m) kuak dada lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun semalam.
Kejayaan itu menyaksikan Peaty, 26, berjaya mempertahankan pingat emas dimenangi pada edisi Rio 2016 sekali gus membuktikan statusnya sebagai raja kolam renang Great Britain.
Bagaimanapun, hasrat Peaty untuk memecahkan rekod dunia 56.88 saat (s) atau catatan Olimpik, 57.13s miliknya tidak kesampaian apabila dia sekadar mencetak masa 57.37s pada aksi final tersebut.
“Sudah lama saya tidak merasai perasaan gembira seperti ini sejak 2016. Kejayaan ini amat bermakna kerana saya tidak sempat melakukan persediaan terbaik.
“Sebagai atlet, anda tidak boleh jadikannya sebagai alasan. Oleh itu, saya cuma berikan segala tenaga yang saya ada dengan harapan dapat memenangi aksi final ini,” kata Peaty.
Pingat perak menjadi milik perenang Belanda, Arno Kamminga dengan catatan masa 58.00s, manakala tempat ketiga berjaya dimenangi Nicolo Martinenghi dari Itali selepas mencatatkan 58.33s.
Kejayaan itu menutup kempen Peaty di pentas Olimpik kali ini memandangkan dia cuma mengambil bahagian dalam 100m kuak dada kerana kategori 200m kuak dada bukan acara kegemarannya.
Sebagai rekod, Peaty adalah perenang pertama dalam sejarah Great Britain yang berjaya memenangi dua temasya Sukan Olimpik berturut-turut.
– AGENSI