BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan turun pada aksi terakhir Kumpulan D Sukan Olimpik Tokyo 2020 menentang wakil Kanada, Jason Ho Shue-Nyl Yakura di Musashino Forest Sports Plaza pada pukul 6.30 petang nanti.
Mereka perlu memastikan kemenangan ke atas gandingan tidak ternama itu bagi mengiringi jaguh Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan ke peringkat suku akhir.
Ahsan-Setiawan sudah memastikan tempat ke peringkat suku akhir lebih awal selepas muncul juara Kumpulan D apabila mencatat kemenangan dalam ketiga-tiga perlawanan sebelum ini.
Sementara itu, perseorangan wanita negara, Soniia Cheah juga mendapat ‘bye’ ke atas pemain Hungary, Laura Sarosi bagi aksi Kumpulan N selepas lawannya itu menarik diri akibat kecederaan.