ATLET Great Britain dalam acara Mountain Bike, Tom Pidcock berjaya merangkul pingat emas dalam acara tersebut dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Izu MTB Course, Tokyo kelmarin.
Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu mengenai kisah di sebalik kejayaannya kali apabila dia sebenarnya baharu sahaja pulih selepas terlibat dalam kemalangan apabila dilanggar sebuah kereta awal Jun lalu sehingga menyebabkan tulang selangkanya patah.
Atlet berusia 21 tahun itu mengakui bahawa dia langsung tidak menyangka mampu meraih kejayaan tersebut terutama ketika keadaan belum benar-benar cergas sepenuhnya.
“Kemenangan ini seperti sebuah mimpi, sukar untuk diungkapkan, ia satu perkara luar biasa kerana saya kini ialah pemenang Olimpik.
“Sebelum perlumbaan bermula, saya memberitahu diri sendiri bahawa bertanding dan berada di sini merupakan satu perkara yang istimewa dan menakjubkan,” katanya.
Pidcock terlibat dalam kemalangan yang hampir meragut nyawanya itu di Andorra semasa menjalani latihan.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan dia tercampak ke atas kereta yang melanggarnya sehingga tulang selangkanya patah kepada lima bahagian serta basikalnya terputus kepada dua bahagian.
Tambahnya, semangat untuk menyertai saingan Olimpik menyebabkan dia hanya berehat selama seminggu sahaja sebelum kembali menjalani latihan biarpun doktor mengarahkannya berehat untuk tempoh enam minggu.
Dalam saingan kelmarin, Pidcock menamatkan saingan dengan catatan 1 jam 25 minit 14 saat meninggalkan pencabarnya, Mathias Fluckiger dari Switzerland yang mencatat 1 jam 25 minit 34 saat dan pingat ganga diraih atlet Sepanyol, David Valero dengan catatan 1 jam 25 saat 48 saat. – AGENSI