BEREGU wanita negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menutup aksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi kemenangan 21-19, 21-16 ke atas gandingan Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith di Musashino Forest Sports Plaza sebentar tadi.
Pada aksi terakhir saingan Kumpulan A itu, kedua-dua pasukan turun bagi melengkapkan jadual pertandingan memandangkan sudah tewas dalam dua perlawanan sebelum ini.
Mei Kuan-Meng Yean nampak tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan pasangan dari Eropah itu apabila menguasai sepenuhnya kedua-dua set permainan pada pertemuan tersebut.
Meskipun gagal melangkah ke pusingan seterusnya, namun aksi beregu No.11 dunia itu wajar dipuji memandangkan Olimpik kali ini adalah penampilan sulung mereka pada temasya sukan empat tahun sekali itu.
Selepas Mei Kuan-Meng Yean menamatkan cabaran, kini hanya tinggal perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Soniia Cheah (perseorangan wanita) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) bagi meneruskan perjuangan dalam sukan badminton. – K! ONLINE