KULIM – Lebih 100 pesawah di Sidam Kanan dekat sini mengeluh apabila tanaman padi seluas kira-kira 50 hektar terjejas akibat kekurangan bekalan air berikutan sistem pengairan di kawasan itu tidak berfungsi dengan baik.
Seorang pesawah, Abd. Rahim Jaafar, 63, berkata, mereka kini hanya bergantung kepada hujan untuk memenuhi air di kawasan sawah memandangkan pokok padi yang ditanam mula mengeluarkan buah.
Menurutnya, ketika ini kawasan sawah tersebut perlu dipenuhi air bagi mengelak padi rosak dan mati sehingga mengakibatkan pesawah terpaksa menanggung kerugian.
“Sekarang merupakan masa penting untuk proses padi membesar dan berbuah tetapi disebabkan ketiadaan air, banyak pesawah mengeluh kerana padi tidak berisi dan rosak,” katanya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/07/pic-lead.png)
Pesawah, Harun Mat Jab, 72, pula berkata, sejak menjadi pesawah lebih 50 tahun lalu, musim padi kali ini tidak menguntungkan kerana sistem pengairan yang dikawal selia oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tidak berfungsi.
“Pesawah di kawasan Tanjung Belit, Guar Lobak dan Pulau Kemian yang terletak di bawah Unit Sentosa, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sidam Kanan di sini tidak menerima air secukupnya daripada sistem pengairan tersebut sejak awal musim.
“Hanya tinggal lebih kurang sebulan untuk proses menuai padi, namun hasil pengeluaran padi terjejas,” ujarnya.
Seorang lagi pesawah, Mohd. Shukri Rejab, 39, berkata, kebiasaannya pengeluaran padi di kawasan itu boleh mencecah sebanyak 2.5 tan bagi setiap keluasan 0.28 hektar.
“Rasanya pada musim ini, pengeluaran padi merosot teruk kerana masalah kekurangan air dan kami menanggung kerugian.
“Pesawah telah cuba pelbagai cara untuk mendapatkan sumber air seperti membina parit baharu dan menggunakan pam air tetapi tetap tidak mampu menampung keperluan air di kawasan sawah itu,” jelasnya.
Sehubungan itu, jelasnya, pesawah meminta JPS menyegerakan pembinaan rumah pam baharu bagi menyedut air daripada Sungai Sidam untuk disalurkan ke kawasan sawah tersebut.