PERENANG kebangsaan, Phee Jinq En menyifatkan dia telah memberikan 200 peratus usaha seperti dijanjikan dalam misi memecahkan rekod kebangsaan miliknya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Atlet dari Subang Jaya, Selangor itu berjaya mencatat masa satu minit 08.40 saat (s) pada saringan dua acara 100 meter (m) kuak dada wanita di Pusat Akuatik Tokyo kelmarin.
Ia sekali gus memecah rekod lama kebangsaan, 1:08.50s yang dilakukannya ketika meraih pingat emas Sukan SEA Manila 2019.
Jinq En, 23, kini boleh mendabik dada kerana berjaya mencapai sasaran utamanya meskipun gagal melangkah ke peringkat separuh akhir 100m kuak dada Sukan Olimpik.
“Saya sangat gembira dan berpuas hati dengan renangan ini. Ia catatan terbaik saya yang juga rekod baharu kebangsaan.
“Saya berjanji mahu memberikan 200 peratus usaha untuk acara 100m kuak dada kerana saya mahu catatan lebih bagus berbanding Rio 2016,” katanya.
Jinq En yang sebelum ini sekadar mencetak masa 1:10.22s untuk 100m kuak dada pada edisi Rio 2016, akan turun semula ke kolam renang di Tokyo bagi menyertai acara terakhirnya, 200m kuak dada esok.
Seorang lagi perenang negara di Tokyo, Welson Sim pula terpaksa akur menutup kempennya tanpa sebarang rekod baharu peribadi dalam dua acara disertainya, 200m dan 400m gaya bebas.